Saturday, March 21, 2015

PANTAUAN HARUS DIBUAT TERHADAP PERKHIDMATAN TEKSI


PEMANDU TEKSI AMBIL KESEMPATAN

Teksi merupakan salah satu daripada pengangkutan awam yang penting bagi orang ramai. Selain bas, teksi acapkali menjadi pilihan ramai terutamanya bagi mereka yang tidak mahu menunggu lama dan mengejar masa untuk tiba ke sesuatu destinasi.

Peranan teksi sebagai pengangkutan awam negara memang penting apatah lagi ketika kunjungan orang luar mahupun pelancong asing. Perkhidmatan teksi menjadi pilihan utama bagi mereka yang tiba di sesuatu tempat yang baru.

Sememangnya, teksi begitu mudah terlihat di atas jalan-jalan raya terutama di kawasan bandar. Melihatkan senario ini pasti ramai menjangkakan bahawa teksi begitu mudah untuk diperolehi dalam keadaan seseorang itu perlu menggunakan perkhidmatan teksi.

Namun, hakikatnya, walaupun teksi yang dikatakan bersepah di seluruh bandar, perkhidmatan teksi yang digunakan kerapkali kurang memuaskan hati pengguna.

Ini kerana, banyak pemandu teksi yang dikatakan bersikap 'pilih bulu' tentang destinasi yang dituju walaupun ianya masih berada dalam lingkungan bandaraya. Hal ini seringkali terjadi terutamanya bagi kawasan-kawasan taman perumahan tertentu di ibu kota.

Entah mengapa ia harus terjadi sedangkan pelanggan sanggup membayar harga tambang ke destinasi yang dituju. "Maaf cik, saya tak masuk sana" Ini adalah antara ungkapan yang seringkali diucapkan oleh pemandu teksi pada penumpang yang ingin menaiki teksinya.

Ada yang memberikan alasan jalan jam atau sukar hendak ke destinasi yang dituju. Apa yang sebenarnya mereka khuatiri? Sedangkan tambang mengikut meter pasti dibayar penumpang walaupun berapa jauh atau berapa lama meter mereka berjalan.

Persoalan inilah yang seringkali menjadi tanda tanya para pengguna. Sebagai pemandu teksi, tugas mereka adalah membawa penumpang ke destinasi yang dituju walaupun jaraknya agak jauh. Bolehkah bermalas-malasan dalam menawarkan perkhidmatan mereka?

Itu mungkin senario yang kerap berlaku di sekitar ibu kota. Lain pula halnya dengan ragam pemandu teksi di tempat lain. Baru-baru ini kami berkesempatan ke Ipoh, Perak dan menginap di salah sebuah hotel yang baru dibina.

Terdapat sebuah pasaraya berhampiran hotel tersebut yang jaraknya tidak sampai 1 kilometer dan kami telah pergi membeli sedikit barangan dari pasaraya berkenaan. Ketika pergi, kami hanya berjalan kaki dan perjalanan itu mengambil masa kira-kira 6 minit.

Setelah membeli barangan kami mengambil keputusan untuk menaiki teksi ke hotel itu kerana susah hendak membawa barangan yang dibeli. Kami terus mengambil sebuah teksi yang memang menunggu di situ.

Tiba di hotel kami terperanjat kerana perjalanan dengan teksi yang tidak sampai 5 minit itu dikenakan tambang RM15. Bila ditanya, pemandu teksi itu berkata bahawa ia harga standard.

Itulah padahnya apabila menaiki teksi yang tidak bermeter. Tambang yang dikenakan oleh pemandu teksi sangat tidak munasabah dan mereka benar-benar mengambil kesempatan ke atas penumpang dengan caj yang terlalu tinggi.

Selain pengalaman itu, seorang lagi teman pernah juga mengambil teksi daripada Terminal Bas Amanjaya di Ipoh ke satu kawasan perumahan berhampiran dengan jarak lebih kurang 8 kilometer.

Tambang yang dikenakan amat memeranjatkan apabila dia diminta membayar RM25. Apa lagi yang dapat dikata sekiranya sudah naik dan tiba ke destinasi? Jadi, terpaksalah membayar walaupun timbul rasa tidak puas hati yang meluap-luap.

Kejadian seperti ini sebenarnya mampu dielakkan seandainya penggunaan teksi bermeter dilaksanakan di semua negeri dan satu penyelarasan tambang diwujudkan sebagai garis panduan pada penumpang agar tidak dianiaya oleh pemandu teksi yang gemar mengambil kesempatan.

Sepatutnya, hal ini diambil serius oleh pihak berwajib agar pemandu teksi tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan caj yang tidak masuk akal. Sekiranya pemantauan teliti terhadap perkara ini dijalankan, pasti para penumpang tidak akan menjadi mangsa pemandu teksi lintah darat.

Mungkin telah tiba masanya penggunaan teksi bermeter diwajibkan di semua tempat terutamanya di kawasan bandar agar semua pihak berpuas hati dengan perkhidmatan teksi yang ditawarkan.


CAJ INTERNET YANG TINGGI BEBANKAN RAKYAT MALAYSIA


Dunia kini berada pada satu gelombang teknologi moden yang serba canggih. Keunggulan teknologi moden berteraskan alam siber kini menular secara global. Salah satu elemen penting dalam kemajuan teknologi moden masa kini adalah penggunaan internet yang bukan lagi dianggap sebagai kehendak namun telah menjadi satu keperluan dalam kehidupan.

Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa Internet telah memberi impak yang sangat besar kepada kehidupan semua orang untuk membolehkan akses terhadap sebarang maklumat. Ia menyediakan apa jua maklumat dan informasi yang sentiasa dikemaskini kepada berjuta-juta orang setiap hari.

Dengan hanya satu klik, segala maklumat dunia kini berda di hujung jari anda. Rasanya mungkin tidak perlu dipertikaikan lagi tentang kepentingan internet dalam kehidupan manusia masa kini. Semua orang pasti mengakui akan kepentingan internet dalam kehidupan.

Sebagai sebuah negara membangun, kini pasti setiap individu di seluruh pelosok negara merasakan pentingnya internet dalam kehidupan pada era kini. Keperluan internet pada zaman sekarang menjadi seperti makanan ruji dalam kehidupan segenap lapisan masyarakat. 

Kemunculan media sosial dan aplikasi-aplikasi serba moden kini seperti Whatsapp, We Chat, Line, Instagram, Facebook, Twitter, My Space dan pelbagai lagi yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan pasti memudahkan segala urusniaga dan urusan promosi perniagaan. 

Paling mudah cuba kita ambil contoh seorang peniaga di pasar. Segalanya menjadi mudah untuk mengetahui senarai harga ikan atau sayuran di pasar yang hanya dimuat turun oleh para pemborong melalui aplikasi-aplikasi seperti yang disebutkan tadi. 

Malah, jangan terkejut kerana produk seperti belacan juga kini dipromosikan melalui media sosial. Jelas sekali akan peri pentingnya internet dalam kehidupan masyarakat kini. Selaras dengan tuntutan teknologi serba moden, masyarakat yang semakin celik IT memerlukan kemudahan internet untuk bergerak secara proaktif dalam rutin harian.

Namun, persoalan yang harus dirungkai bersama adalah mengapa harga internet di Malaysia masih terlalu tinggi sedangkan umum mengetahui akan kepentingannya dalam kehidupan harian kini. Tidak cukup dengan itu, masyakat umum yang dibebani kos internet yang tinggi juga sering menghadapi masalah dengan kelajuan rangkaian internet yang dibekalkan yang masih terlalu perlahan dan tidak mencapai tahap sepatutnya. 

Berbaloikan membayar harga yang tinggi sedangkan semua pengguna celik IT tidak mendapat kepuasaan melayari internet disebabkan tahap kelajuan yang amat menyedihkan. Ini bukan sekadar cakap kosong, malah Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) pernah menempelak tahap perkhidmatan internet di Malaysia yang sangat mahal namun tidak berpadanan dengan servis yang kualiti yang ditawarkan kepada pengguna di Malaysia. 

Mengapakah senario seperti ini masih berlarutan pada zaman siber kini? Berdasarkan kajian yang dibuat, amat menyedihkan apabila Malaysia berada di belakang Cambodia dan Vietnam yang nyata mencapai tahap kelajuan internet yang lebih baik di negara masing-masing. Bayangkan Cambodia dan Vietnam yang jauh ketinggalan daripada kita dari segi kemajuan mampu memberi kemudahan internet yang lebih baik kepada rakyatnya. 

Jika dahulu slogan 1 Malaysia yang berbunyi 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' dicanang kepada seluruh rakyat, namun adakah pencapaian kita sebenarnya diberi keutamaan sedangkan elemen asas kepada penggerak teknologi iatu kemudahan internet masih tinggi harganya dan sangat terkebekang dari segi kelajuan. 

Apa yang mampu dicapai sekiranya internet tidak mampu dimiliki oleh semua pihak? Dapatkah masyarakat masa kini terus bergerak dan bersaing secara global dengan dunia luar yang nyata lebih tinggi teknologi dengan kos yang jauh lebih rendah?

Paling jelas di sini, penyedia Internet dibiarkan terus mengambil kesempatan terhadap keperluan rakyat dalam penggunaan internet. Melihat kepada perkembangan teknologi moden, pengguna media sosial yang semakin meningkat dan pelaksanaan urusniaga elektronik yang semakin melonjak tinggi, penyedia internet terus berleluasa mengaut keuntungan dengan menyediakan perkhidmatan yang hanya indah khabar dari rupa. 

Harga yang dibayar pengguna internet di Malaysia amat tidak berpadanan dengan servis yang mereka nikmati. Jika dibandingkan dengan negara luar, kos internet di Malaysia jauh lebih tinggi. Harga caj langganan Internet di Malaysia adalah 5-10 kali ganda lebih mahal berbanding negara-negara maju seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura yang juga turut menawarkan kadar harga internet dan jalur lebar lebih rendah berbanding Malaysia.

Siapa yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Mengapa rakyat Malaysia yang rata-rata semakin menongkah arus kemajuan kini perlu dibebani dengan kos yang tinggi? Malah sehingga artikel ini ditulis, pihak kami masih menghadapi masalah dengan tahap kelajuan internet yang sangat lembab dan menyusahkan untuk paparan muat naik sebarang bahan. 

Sebagai sebuah negara membangun kita tidak seharusnya dibebani lagi dengan kos internet yang masih tinggi dan tidak mampu dimiliki oleh semua golongan. Dalam usaha kita mencapai satu tahap penguasaan teknologi berteraskan alam siber dan media sosial, seharusnya segala informasi berada di hujung jari setiap masyarakat. 

Bertitik tolak dari itu, segalanya haruslah bermula dengan pengurangan kos internet yang membebani masyarakat serta penambahbaikan mutu dan kualiti internet di Malaysia agar setaraf atau mampu bersaing dengan negara maju.

Kami hanya sekadar meluahkan segala keluhan dan cetusan hati masyarakat umum di Malaysia. Diharap perkara ini mampu menarik minat pihak berwajib agar memberi pertimbangan sewajarnya untuk kepuasan hati semua pihak.

BANDINGKAN HARGA DAN KELAJUAN INTERNET DI MALAYSIA